Friday, April 2, 2010

Album Musafir Perjuangan laris


KUMPULAN Raihan dengan album baru mereka.

PENJUALAN album Musafir Perjuangan, buah tangan terbaru kumpulan nasyid terkenal, Raihan mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila setakat ini sudah mencecah 12,000 unit selepas dua minggu berada di pasaran di seluruh negara.


Ketua kumpulannya, Che Amran Idris, berkata album ke-10 daripada Raihan itu turut memuatkan lagu termasuk Nun Disana, Musafir, Tanpa Agama, Allah Is Coming dan God Is Light menerima sambutan baik daripada peminat tanah air.


“Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album kami adalah lagu nasyid lama yang dirakamkan semula supaya peminat dapat mengenali dan mengingati konsep yang dibawa oleh Raihan.


“Sambutan yang diterima sejak pelancaran pada 17 Mac lalu memang menggalakkan dan kami amat bersyukur dengan penjualan album setakat ini,” katanya ketika mengadakan majlis ramah mesra bersama media di Kota Bharu, Kelantan, semalam.


Turut hadir tiga ahli Raihan yang lain, Abu Bakar Md yatim, 40, Amran Ibrahim, 38, dan Zulfadli Mustaza, 25. Mengenai sambutan peminat Raihan di Kelantan, Che Amran bersyukur apabila jualan bagi album berkenaan hampir mencecah 2,000 unit setakat ini, satu jumlah yang boleh dibanggakan. “Sambutan yang diberikan oleh peminat kami sepanjang promosi di Kelantan amat meyakinkan dan setakat ini, jualan album yang berjaya dikutip hampir 2,000 unit . “Dengan sambutan yang memberangsangkan ini, Insya Allah kami akan membuat cetakan kedua bagi memenuhi permintaan peminat di tanah air,” katanya. Selain itu, Che Amran berkata, pengedaran album itu dilakukan hasil gandingan Raihan bersama Syarikat HPA, Warner Music dan juga Wahyu Suci. “InsyaAllah pada penghujung April ini, kami akan melancar serta mengedarkan album ini di pasaran Indonesia iaitu di Jakarta dan Semarang, manakala pada bulan Mei kami akan ke Perth, Australia. “Kami juga akan menghadiri Festival Muzik di London pada Jun ini, selain itu ke Melbourne dan Sydney pada bulan berikutnya, tujuan kami membawa album kami ini ke Indonesia adalah disebabkan pasarannya yang luas dan sambutan penduduk yang amat menggalakkan sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment