Kita mungkin tertanya-tanya mengapa logo halal yang dikeluarkan di negara ini digandingkan dengan perkataan Malaysia, iaitu Halal Malaysia. Pada perspektif syarak, perkataan halal sudah cukup sebagai penunjuk aras bahawa sesuatu barangan itu dibenarkan atau harus digunakan sama ada dari segi hukum, keselamatan dan mutu. Sudah memadai dengan satu perkataan halal yang boleh berdiri sendiri.
Inilah suatu keunikan di Malaysia. Sebelum penandaan halal menjadi faktor penting dalam dunia perniagaan hari ini, ia telah tertanam kukuh dalam kebudayaan masyarakat Melayu Islam yang amat sensitif terutamanya bagi sumber makanan dan produk barangan gunaan harian. Namun demikian penggunaan bahan dan barangan yang ringkas lebih-lebih lagi dalam produk makanan pada masa-masa yang lalu menyebabkan perlebelan ini tidak dipandang begitu penting berbanding pada hari ini.
Masyarakat Malaysia yang terbina di atas pelbagai bangsa, agama dan budaya merupakan aset penting dalam membentuk pensijilan halal Malaysia. Pada umumnya melihat penggunaan logo dan sistem pensijilan ini semata-mata untuk kelompok pengguna Melayu Muslim di negara ini bagi memudahkan mereka membuat pilihan barangan tanpa ragu-ragu di pasaran. Sebaliknya setelah diperkenalkan hampir sepuluh tahun, sambutan kehadirannya amat mengejutkan. Perkataan halal hari ini bukan lagi menjadi milik mutlak etnik Melayu Muslim.
Golongan peniaga yang rata-ratanya dipegang oleh etnik China mula sedar kepentingan halal dan menuntut supaya produk barangan mereka diberikan pengesahan halal sedangkan mereka majoritinya bukan penganut Islam. Perubahan ini telah memecah tembok sempadan perbezaan agama dan merentasi sempadan perbezaan budaya yang mana selama ini kita salah menganggap piawaian halal hanyalah untuk penganut Islam sahaja. Begitu juga pemilik industri Barat dan Eropah seperti Amerika Syarikat, Jerman, Belanda dan New Zealand mereka membuat palaburan besar di Negara ini. Di Asia, Negara Jepun dan Thailand juga tidak kurang pentingnya dalam hal ini. Mereka menjadikan logo halal sebagai marketing tool untuk memenangi hati pengguna.
Golongan pengeluar telah meletakkan nilai label halal pada barangan mereka lebih mahal dan bernilai berbading produk yang dikeluarkan. Kadang-kala tanpa label halal rasmi yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jabatan/Majlis Agama Islam mereka menganggap sukar memasarkan produk , malah dalam keadaan tertentu pengguna akan mempertikaikannya. Kini halal telah menjadi nilai komersial yang begitu penting dan tinggi mengatasi sempadan bangsa, agama dan antarabangsa.
Demi tujuan perniagaan, ada kalanya pihak pengeluar begitu melampau. Mereka seboleh mungkin cuba mengekplotasi para pengguna dan pembeli dengan memakai logo halal pada semua barangan tidak kira apa jenis produk yang dipasarkan. Hal ini menimbulkan kebimbangan menyebabkan lahir desakan supaya logo haram turut diperkenalkan. Dalam hal ini, Mantan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin telah memberi jawapannya bahawa logo halal sudah memadai bagi umat Islam di negara ini membezakan sesuatu produk itu halal atau sebaliknya (Utusan Malaysia, 27 Sept. 2002).
Sebenarnya, di antara kepentingan peniaga dan jaminan kepada pengguna, JAKIM/JAIN mengawalnya berdasarkan tuntutan syarak. Oleh itu tidak semua permintaan pengusaha yang memohon penggunaan logo dan sijil halal dapat dipenuhi. Produk asli atau nature product yang tidak melalui proses produksi seperti rempah-ratus, air mutlak, buah-buahan dan ikan adalah tidak perlu kepada pensijilan halal. Ringkasnya kesemua bahan asli yang tidak melalui proses pengubahsuaian, penambahan dan pemeraman adalah bahan yang tidak tersenarai bagi permohonan halal. Selain itu ke semua obat-obatan atau keluaran farmaseutikal tidak termasuk dalam pensijilan halal ini kerana ia keperluan darurat kepada pesakit. Begitu juga sesuatu pengeluar jenama produk yang sudah dikenali tidak halal adalah tidak akan diproses permohonannya walaupun produk yang akan dikeluarkan tersebut masih tidak bertentangan dengan syarak. Tindakan ini untuk mengelakkan kekeliruan dan keraguan kepada masyarakat umum. Seterusnya makanan binatang khususnya yang tidak halal seperti kucing . Ini adalah kerana binatang tidak dikenakan sebarang taklif dosa-pahala seperti manusia. Sebagai jaminan keselamatan pengguna, logo halal tidak dibenarkan dicetak pada bahan gunaan yang berisiko seperti bahan cecair pencuci dan sijil halal hanya dikeluarkan kepada pemohon sahaja.
Secara ringkasnya antara beberapa katogeri produk yang tidak layak membuat permohonan halal ialah :
i. Bahan asli atau nature,
ii. Ubat-ubatan,
iii. Jenama produk yang terkenal tidak halal,
iv. Makanan binatang,
v. Pewarna rambut.
JAKIM sebagai badan penyelaras pensijilan halal Malaysia telah memperkenalkan logo halal baru yang standard di seluruh Malaysia. Logo standard ini menjawab terhadap segala persoalan dan kekeliruan yang seringkali timbul oleh orang ramai memandang setiap jabatan agama Islam negeri-negeri mengeluarkan logo halal masing-masing yang mempunyai identiti tersendiri. Logo baru ini hanya mengandungi perkataan halal dalam tulisan Arab-Jawi dan perkataan Malaysia dalam tulisan Rumi. Yang membezakan di antara logo-logo halal yang dikeluarkan hanya dapat dikenali berdasarkan kod nombor mengikut kod nombor kad pengenalan berdasarkan negeri-negeri yang digunapakai di Malaysia. Sebagai panduan kepada pengguna, logo baru yang keluarkan secara rasmi kepada premis pemohon ialah bewarna hitam pekat. Bagi memudahkan pihak pengeluar, mereka dibenarkan menggunakan warna-warna yang lain mengikut produk dihasilkan asalkan tidak sedikitpun merubah speksifikasi logo asal.
Dengan memperkenalkan logo baru ini pada 2003 lepas, maka secara langsung logo-logo lama yang masih beredar di pasaran seperti yang tercatat perkataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri-negeri dijangka akan dapat dihapuskan sehingga di penghujung tahun ini, 2004. Tujuan utama pengenalan logo ini ialah untuk penyelarasan, di samping itu strategi lain ialah untuk menghapuskan penggunaan logo halal palsu seperti BAHIES dan sebarang perlabelan halal yang tidak tidak disahkan oleh mana-mana pihak berautoriti Islam negara. Label halal yang banyak digunakan oleh pihak premis tanpa pengesahan rasmi JAKIM/JAIN tidak boleh dipertanggungjawabkan sungguhpun penggunaannya tiada sekatan dari perundangan. Kesemuanya ini dimulakan di Malaysia dan tidak negara Islam lain.
Pendekatan ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan logo-logo yang dikeluarkan oleh badan-badan Islam seperti Indonesia, Amerika, Thailand dan Singapura. Indonesia hanya mengunakan perkataan Arab halal, Majlis Makanan dan Nutrasi Amerika (IFANCA) yang begitu dominan di A.S. menggunakan simbol ‘M’ yang merujuk kepada muslim dan Thailand menampilkan kalimah Syaikh al-Islam yang merujuk kepada badan Islam yang berautoriti di sana.
Di Malaysia, sungguhpun logo halal nampak begitu gah dan berpengaruh di kalangan pengguna dan pengusaha, tetapi pemakaiannya adalah tidak diwajibkan dari segi undang-undang. Kekuatannya ialah sebagai simbol jaminan kualiti berasaskan syarak yang menekankan aspek mutu produk, kesucian dan keselamatan. Ia merupakan suatu pilihan kepada pengeluar memohon untuk menggunakannya dan ia dikeluarkan secara pentadbiran oleh pihak JAKIM/JAIN. Sesetengah pihak menganggapnya sebagai tanggungjawab sosial. Namun demikian penggunaanya telah berubah secara mendadak menjadi keperluan pihak industri pengeluar produk makanan dan barangan gunaan untuk meyakinkan pengguna. Melalui elemen halal, pihak kerajaan telah berjaya membuka peluang persaiangan perniagaan antara pengeluar supaya barangan menjadi lebih berkualiti tinggi dan meyakinkan. Iklim perdagangan yang sihat ini telah berjaya dirintis di pasaran tempatan dan mula giat melebar di persada perdagangan antarabangsa.
Lokman Ab. Rahman,
Peg. Kajian Makanan & Barangan Gunaan Islam,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
apa pendapat anda?????????
No comments:
Post a Comment